Pengamal media Malaysia-Indonesia perlu manfaat media sosial

Mokhtar kiri) menyampaikan cenderahati kepada Umi Kalsum pada Majlis Makan Malam Bersama Ismawi malam Rabu. - Foto Bernama
Mokhtar kiri) menyampaikan cenderahati kepada Umi Kalsum pada Majlis Makan Malam Bersama Ismawi malam Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Pengamal media Indonesia dan Malaysia perlu memanfaatkan aplikasi media sosial seperti WhatsApp untuk kekal berhubung bagi berkongsi perkembangan yang berlaku di kedua-dua negara, kata Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain.

Berucap pada majlis jamuan malam Iswami sempena program Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia di sini pada Rabu, Mokhtar berkata, medium tersebut sekali gus menjadi platform pemerkasaan hubungan akrab sedia ada antara pengamal media kedua-dua negara itu.

"Ada baiknya media dari dua negara ini (Malaysia-Indonesia) sentiasa berkongsi perkembangan negara masing-masing.

"Sebagai contoh, kita telah tubuhkan kumpulan WhatsApp yang membolehkan kita berhubung setiap hari,” katanya.

Mokhtar berkata, sebagai tanda terima kasih Iswami Malaysia terhadap Iswami Indonesia yang menerima undangan bagi menghadiri program selama empat hari bermula hari ini, pihaknya bercadang untuk mengadakan sesi lawatan wartawan muda Malaysia ke Indonesia tidak lama lagi.

Antara yang hadir pada majlis itu adalah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Roslan Ariffin, Penasihat Iswami, Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang IDN Times, Umi Kalsum melahirkan rasa kagum kerana diberi peluang melawat studio Les’ Copaque Production, syarikat penerbitan animasi yang menghasilkan siri TV animasi 3D popular ‘Upin & Ipin’ di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

"Sajian program ini adalah luar biasa, kami dapat banyak perspektif baharu yang bermanfaat buat kami semua. Kami juga dapat edukasi pembaca kami hasil daripada lawatan ini,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap program seumpama itu dapat memperkasakan hubungan akrab sedia ada antara pengamal media Malaysia-Indonesia.

Program lawatan tersebut adalah kesinambungan daripada Program Pemimpin Media Utama Indonesia yang hadir pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka, 19 Mei lepas.

Iswami ditubuhkan pada 8 Januari 2008 dan dianggotai pelbagai agensi, pertubuhan serta organisasi media Malaysia, manakala Iswami Indonesia dipimpin oleh Asro Kamal Rokan.

Persatuan itu ditubuhkan bertujuan mengharmonikan hubungan dua hala dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama, selain berperanan sebagai pengantara kepada media di kedua-dua negara dalam menangani isu-isu semasa. - Bernama