Jenazah lima beranak dikebumikan dalam satu liang lahad

Jenazah lima beranak yang tiba dari Kuantan, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini.
Jenazah lima beranak yang tiba dari Kuantan, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini.
A
A
A

PADANG RENGAS - Jenazah lima beranak yang terkorban dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, Pahang selamat dikebumikan pada Rabu.

Allahyarham Muhammad Rosli Ibrahim, 32, bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak, Nur Safwa Irdina,7; Nur Sofea Raida, 6 dan Muhammad Rizqi berusia lingkungan 18 bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini, kira-kira jam 10 malam.

Kesemua mangsa dibawa menggunakan tiga van jenazah dengan diiringi dua kereta peronda polis (MPV) tiba di pekarangan rumah pada jam 8.25 malam.

Jenazah disembahyangkan sebelum solat Isyak dan kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter.

Lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan penduduk kampung termasuk pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, IPK Perak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan Kuala Kangsar hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Jenazah lima beranak disembahyangkan di pekarangan rumah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini.
Jenazah lima beranak disembahyangkan di pekarangan rumah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan ketika jenazah diturunkan ke liang lahad satu persatu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.40 petang pada Selasa, kesemua mereka yang menaiki kereta Toyota Corolla itu maut di tempat kejadian selepas bertembung dengan sebuah treler.

Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat.