Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Malam

Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja Raja Ke-259 menerima keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah (hadapan, kanan) dan Tuanku Syed Sirajuddin (hadapan, kiri) serta Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu. Turut berangkat, Tunku Azizah (belakang, kiri). - Foto Bernama
Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja Raja Ke-259 menerima keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah (hadapan, kanan) dan Tuanku Syed Sirajuddin (hadapan, kiri) serta Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu. Turut berangkat, Tunku Azizah (belakang, kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-259 di Istana Negara di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta kerabat Diraja turut sama berangkat ke majlis santapan itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak diiringi Timbalan Premier.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan menteri-menteri kabinet turut hadir di majlis itu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dengan dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Johor.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Johor diwakili Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim. - Bernama