70 pelajar SMKTM pamer bakat

Persembahan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (SMKTM) membanggakan ibu bapa dan guru.
Persembahan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (SMKTM) membanggakan ibu bapa dan guru.
A
A
A

BESUT - Seramai 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (SMKTM) di sini menunjukkan bakat dengan menyertai persembahan sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada Sabtu.

Pengetuanya, Nathrah Awang Teh berkata, kesemua pelajar mempamerkan bakat terpendam setelah sekian lama tidak melakukan persembahan disebabkan kekangan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Penyertaan mereka dalam persembahan sempena Mesyuarat Agung PIBG itu menunjukkan pencapaian tersendiri dalam kemenjadian pelajar.

“Apatah lagi bakat itu dipersembahkan di hadapan ibu bapa. Ia sudah tentu membanggakan penjaga dan guru,” katanya.

Menurut Nathrah, antara persembahan yang disertai pelajar ialah pancaragam, kawat kaki pasukan, kadet polis dan persembahan silat.

Selain itu, katanya, terdapat juga persembahan pentas pelajar iaitu tarian Cina, tarian Melayu dan nyanyian secara solo.

Mesyuarat Agung PIBG SMKTM yang dihadiri seramai 450 ibu bapa dan guru itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Muhammad Pehimi Yusof.

Antara usul dipersetujui ialah menaikkan yuran tabung kecemerlangan PIBG SMKTM bermula tahun ini dari RM150 kepada RM170 selain menambah bilangan penapis air.

Di samping itu, terdapat juga cadangan bagi penambahan bilangan sukarela yang menjadi tenaga pengajar Bahasa Inggeris serta menyediakan loker di dalam kelas untuk menyimpan buku teks.