Maidam jangka laksana kadar baharu had kifayah hujung tahun ini

Kadar baharu had kifayah perlu diteliti berdasarkan peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan (inflasi) serta mengambil kira beberapa faktor lain. - Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Ahmad Azrin)
Kadar baharu had kifayah perlu diteliti berdasarkan peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan (inflasi) serta mengambil kira beberapa faktor lain. - Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Ahmad Azrin)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) jangka akan melaksanakan kadar had kifayah baharu bagi memenuhi keperluan golongan asnaf di negeri itu hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, Jawatankuasa Penilaian Dapatan Kajian Penentuan Had Kifayah Fakir Miskin di Terengganu telah ditubuhkan pada 31 Mei lalu bagi menentukan kadar baharu yang menepati keperluan perbelanjaan asasi golongan berkenaan.

"Kajian mengenai had kifayah telah dijalankan pada 2019 dengan kerjasama pasukan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) termasuk pakar dalam bidang berkenaan.

"Rentetan itu, kita telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menambah beberapa metodologi baharu untuk mengkaji pindaan yang akan dibuat berdasarkan keperluan semasa.

"Kita jangka dalam tempoh enam bulan lagi kita akan dapat keputusan bagi kadar had kifayah baharu untuk negeri Terengganu dan dijangka akan dilaksanakan hujung tahun ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, kadar baharu had kifayah perlu diteliti berdasarkan peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan (inflasi) serta mengambil kira beberapa faktor lain.

"Secara umumnya, apabila berlaku peningkatan kos sara hidup, orang yang miskin akan berubah menjadi fakir.

"Kita telah bersedia dengan keadaan itu, sebab itulah kita beri tumpuan serta komitmen untuk meminda had kifayah. Apabila pinda had kifayah bermakna kemungkinan jumlah penerima akan bertambah atau jumlah penerima sama dan bantuan bertambah. Semua perkara itu akan diambil kira," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kadar baharu had kifayah perlu bagi menentukan sama ada bantuan untuk asnaf fakir dan asnaf miskin yang diagihkan buat masa ini sesuai dengan kos sara hidup semasa meliputi penempatan dalam bandar atau luar bandar serta bilangan isi rumah.

"Keperluan untuk menjalankan kajian kadar baharu had kifayah perlu disebabkan banyak faktor terutama melibatkan peningkatan kadar inflasi dan Indeks Harga Pengguna (IHP)," katanya.

Terdahulu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan majlis agama Islam negeri-negeri menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.