35 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja diselamatkan

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Seramai 35 rakyat Malaysia dipercayai terpedaya dengan janji tawaran pekerjaan lumayan di luar negara berjaya diselamatkan di sempadan Thailand-Myanmar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, 30 rakyat Malaysia telah mendapatkan bantuan daripada Kedutaan di Bangkok dan pejabat konsulat di Songkhla.

Beliau berkata, mangsa disabitkan kesalahan imigresen termasuk tinggal melebihi masa dan masuk secara haram kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) di Mae Sot, barat Thailand yang terletak di sempadan Myanmar.

Menurutnya, lima lagi rakyat Malaysia telah pulang ke Malaysia kerana memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Kami menjangkakan lebih ramai lagi (mangsa penipuan pekerjaan)... kami tidak mempunyai jumlah sebenar melainkan ada orang pergi ke sana dan memeriksa," katanya ketika sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di Bangkok.

Jojie berkata, kes pertama seumpama itu yang dikendalikan kedutaan melibatkan seorang warga Malaysia berusia 20 tahun dari Selangor yang terpedaya dengan tawaran kerja di Thailand yang menjanjikan gaji bulanan yang tinggi daripada AS$5,000 hingga AS$8,000.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Myawaddy di Myanmar dan dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

"Mangsa dihantar pulang pada Disember tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Jojie berkata, kebanyakan mangsa penipuan tertarik dengan iklan pekerjaan di Facebook dan Instagram yang menawarkan pendapatan tinggi.

"Rakyat Cina Malaysia yang boleh bercakap beberapa bahasa asing menjadi sasaran utama (sindiket ini)," katanya.

Tambahnya, mangsa kebanyakannya penutur bahasa Mandarin ditempatkan di sebuah kompleks yang dikawal ketat dan dipaksa membuat panggilan palsu kepada mangsa di seluruh dunia.

"Mangsa diberi tugas memerangkap warga China di luar negara.

"Kami diberitahu bahawa mereka yang mencapai target akan diberi ganjaran manakala bagi yang gagal, akan dihukum termasuk dipukul,” katanya.

Jojie menambah, kebanyakan mangsa atau ahli keluarga mereka mendapatkan bantuan kedutaan dengan membuat panggilan atau menghantar mesej WhatsApp.

Pegawai kedutaan akan berkunjung ke Mae Sot bagi memeriksa identiti dan status mangsa sebelum memberikan bantuan yang diperlukan.

Beliau juga mengakui pihak berkuasa berdepan cabaran untuk menyelamatkan mangsa kerana dikawal rapi oleh mereka yang bersenjata.

Beliau menegaskan kerjasama dengan semua pihak berkuasa yang terlibat adalah penting bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, Timbalan Penguasa (Siasatan) Balai Polis Mae Sot, Lt Kol Ekaphon Jindatchak berkata, mangsa penipuan pekerjaan biasanya dibebaskan sindiket di Myawaddy dan mereka akan menyeberang ke Thailand untuk mendapatkan bantuan.

"Polis tempatan (Thailand) akan menangkap mereka kerana memasuki negara secara haram dan atas kesalahan imigresen lain. Mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah pihak berkuasa kemudiannya akan menghubungi kedutaan berkaitan. - Bernama