'Daripada roboh stadium baik pajakkan'

Norizam (gambar kecil) menawarkan diri untuk menyelesaikan isu membabitkan Stadium Shah Alam selepas gelanggang itu didakwa bakal dirobohkan.
Norizam (gambar kecil) menawarkan diri untuk menyelesaikan isu membabitkan Stadium Shah Alam selepas gelanggang itu didakwa bakal dirobohkan.
A
A
A

PEMILIK The Red Warriors (TRW) Kelantan FC, Norizam Tukiman menawarkan diri untuk menyelesaikan isu membabitkan Stadium Shah Alam selepas gelanggang itu didakwa bakal dirobohkan.

Norizam berkata, gelanggang berkenaan tidak perlu dirobohkan sebaliknya pihak berkaitan boleh memajak kemudahan sukan itu kepada TRW Kelantan FC.

“Dari roboh stadium tu, baiklah pajakkan ke TRW Kelantan FC. Insya-ALLAH saya bersedia #Zamburger,” kata beliau di laman Facebooknya pada Rabu.

Pada Rabu, sebuah agensi media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu didakwa berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300.

Jika dakwaan itu benar, Stadium Shah Alam pastinya akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai sebuah stadium yang sarat dengan sejarah kemegahan pasukan bola sepak Selangor.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak tampil memberikan penjelasan mengenai status sebenar mengenai situasi terkini Stadium Shah Alam termasuk pihak yang menguruskan gelanggang.

Sinar Harian menghubungi Darul Ehsan Fasilities Management Sdn Bhd (DEFM) selaku pihak pengurusan pada Rabu, namun tiada sebarang komen diberikan sebaliknya diminta untuk menunggu respon pegawai berkenaan.