Tatacara pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dipinda

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa tatacara pengurusan jenazah pesakit Islam dan bukan Islam yang dijangkiti Covid-19 telah disemak semula agar relevan dengan situasi semasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pindaan tu selaras dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang telah bersidang pada 26 Julai 2021.

"Jenazah Islam yang dijangkiti Covid-19 kini dibenarkan untuk dimandi dan dikapankan. Urusan tersebut perlu dilakukan oleh pengendali jenazah terlatih di hospital dengan pemakaian personal protective equipment (PPE) lengkap.

"Hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE dibenarkan turut serta dalam urusan memandi dan mengapankan jenazah bersama pengendali di hospital.

"Elakkan aktiviti yang berunsur aerosol generating procedure (AGP) ke atas jenazah seperti menekan perut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut Khairy berkata, prosedur last rite bagi mayat bukan Islam yang memerlukan penukaran pakaian baharu, ia boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa melibatkan aktiviti AGP.

Selain itu katanya, hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE dibenarkan turut serta dalam urusan prosedur last rite.

"Selain itu, antara tatacara pengurusan jenazah yang turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah yang dijangkiti Covid-19 berbanding dua sebelum ini.

"Bagi sesi pengebumian, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam proses tersebut namun perlu memakai PPE yang bersesuaian.

"KKM juga tidak menetapkan jumlah kehadiran untuk menyaksikan proses pengebumian dan menggalakkan individu yang hadir untuk memakai pelitup muka selain elakkan bersesak-sesak," katanya.