Ahmad Zahid nafi cek RM360,000 bantu UMNO daftar pengundi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dua cek berjumlah RM360,000 yang dikeluarkan oleh Yayasan Akalbudi (YAB) kepada syarikat TS Consultancy & Resources (TSCR) diberi untuk membantu pendaftaran pengundi UMNO pada 2015.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tidak mengetahui bahawa syarikat yang penyediaan pusat latihan itu ditubuhkan oleh UMNO.

Raja Rozela: Jawatan Datuk Seri ketika itu ialah Naib Presiden UMNO, setuju dengan cadangan saya, bahawa Datuk Seri telah dikecualikan daripada mengetahui maklumat berkenaan.

Ahmad Zahid: Ia tidak pernah dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, apatah lagi pada Naib Presiden.

Raja Rozela: Pengerusi TSCR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar telah memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, menyatakan bahawa Datuk Seri (Ahmad Zahid) tahu tujuan penubuhan TSCR.

Ahmad Zahid: Saya tidak dimaklumkan tetapi setahu saya, dia tubuhkan syarikat itu untuk menjalankan kerja-kerja amal jariah melalui percetakan al-Quran.

Raja Rozela: Datuk Seri tahu atau tidak tentang kewujudan TSCR semasa dua cek itu dikeluarkan?

Ahmad Zahid: Saya hanya tahu setelah dia jelaskan kepada saya.

Raja Rozela: Saya katakan, Datuk Seri yang keluarkan satu cek kepada dia atas nama TSCR. Apakah tarikh tertera pada cek berkenaan?

Ahmad Zahid: Benar. 20 Ogos 2015.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak mengetahui bahawa syarikat berkenaan berada dalam keadaan tenat kerana tidak dimaklumkan oleh Wan Ahmad.

Sebaliknya beliau berkata, Wan Ahmad hanya meminta bantuan lalu cek RM100,000 itu dikeluarkan.

Menyentuh dana RM10 juta oleh Yayasan Akalbudi kepada Armada Holdings Sdn Bhd, Ahmad Zahid mengakui bahawa beliau menandatangani satu cek berkenaan.

“Yang Arif, penjelasan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr ialah syarikat itu (Armada) berhasrat untuk menjadi pembekal arang batu kepada anak syarikat TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNB).

“Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu suami kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjelaskan secara terperinci mengenai caj yang dikenakan oleh TNB kepada Armada untuk mendaftar sebagai kontraktor,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa, RM10 juta itu adalah untuk tujuan pelaburan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bela diri bersambung esok.