Terengganu rekod lima kematian akibat sengatan tebuan dalam lima tahun

Anggota bomba memusnahkan sarang tebuan di taman permainan di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. (Gambar kecil) Muhammad Basri
Anggota bomba memusnahkan sarang tebuan di taman permainan di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. (Gambar kecil) Muhammad Basri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan lima kes kematian akibat disengat tebuan melibatkan kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun dalam tempoh lima tahun sejak 2017.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, tiga kes kematian berlaku di Dungun serta masing-masing satu kes di Kemaman dan Kuala Nerus.

"Pada 8 Ogos 2017, dua kes kematian melibatkan kanak-kanak berusia tiga dan lapan tahun direkodkan yang mana kanak-kanak tersebut maut disengat tebuan di hadapan rumahnya di Dungun.

"Pada 31 Mei 2020 seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut disengat tebuan di kawasan sekitar rumahnya di Felda Kerteh 4, Kemaman manakala pada 16 Julai 2021 seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia akibat disengat tebuan dalam rumahnya di Kampung Minda, Dungun.

"Terkini, pada 27 Jun lalu satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Kampung Tok Jembal di Kuala Nerus," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.

Menurut Muhammad Basri, dalam pada itu JBPM Terengganu menerima 956 panggilan untuk memusnahkan sarang tebuan sepanjang tahun lalu.

"Tahun ini kami menerima sebanyak 150 aduan berbanding 344 aduan bagi tempoh sama tahun lalu.

"Pengurangan kes mungkin disebabkan keadaan cuaca panas yang baru bermula kerana serangga berbisa itu biasanya aktif pada musim panas," katanya.

Beliau berkata, antara habitat tebuan tanah ialah di dalam lubang terbiar di dalam tanah, siling rumah, garaj kereta dan pokok renek.

"Kita mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa kawasan sekeliling rumah bagi memastikan ia tidak menjadi tempat serangga itu bersarang.

"Jika ada terjumpa sarang tebuan tanah, segera laporkan kepada pihak bomba bagi memudahkan kami memusnahkan sarang berkenaan lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Pada Ahad lalu, seorang kanak-kanak lelaki maut akibat disengat kira-kira 60 ekor tebuan ketika sedang bermain bersama dua kakaknya di taman permainan di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus.