TVET bantu atasi masalah pengangguran

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim (tengah) bergambar bersama peserta pada Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini, pada Rabu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim (tengah) bergambar bersama peserta pada Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Perlaksanaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran di Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran pada April 2022 menurun kepada 3.9 peratus daripada 4.1 peratus pada suku terakhir tahun 2021.

"Memang TVET untuk kita atasi masalah pengangguran yang ada dalam pasaran. Ketika sebelum pandemik pun sudah ada (pengangguran), selepas pandemik pun ada lagi (pengangguran). Masa pandemik memang orang tidak kerja, banyaklah pengangguran.

"Jadi, TVET akan (membantu) mengurangkan masalah pengangguran dalam pasaran," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada TVET akan mengurangkan masalah pengangguran dalam negara.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media selepas Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan TVET di sebuah hotel di Mergong, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Awang berkata, ramai penduduk terjejas sehingga ada yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya ketika tempoh pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan, sehubungan itu, program di bawah TVET dilaksanakan untuk mengatasi dan membantu penduduk yang terkesan ketika menghadapi Covid-19.

"Sehingga kini, kadar pengangguran telah menurun daripada 4.1 peratus kepada 3.9 peratus," katanya.

Dalam perkembangan sama, Awang menjelaskan Program Dialog Berstruktur Tripartite adalah platform perbincangan tiga penjuru antara pemain industri, pusat latihan serta agensi pusat berkaitan di wilayah Utara sebagai inisiatif memperkukuhkan pembangunan Modal Insan Mahir serta Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan TVET.

Beliau menjelaskan program itu melibatkan tujuh pemain industri utama iaitu industri halal, pertanian dan industri makanan, automotif, tekstil dan pakaian, pelancongan dan pengembaraan, perkilangan serta spa/kecantikan/dandanan rambut.

"Ada Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dalam program TVET, yang mana pelatih ataupun calon boleh mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sama ada melalui Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB), Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT),"katanya.

Tambah beliau, tawaran SLDN Berinsentif 2022 ini terbuka kepada semua Pusat Bertauliah SLDN dan syarikat/industri yang berminat melatih pekerja sedia ada atau baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta.

"Sekarang, baki peruntukan ada lagi RM8 juta dengan bilangan kuota keseluruhan terlibat sebanyak 10,000 peserta yang akan menerima elaun dan insentif seperti perantis (RM500 sebulan), pusat latihan (RM300 sebulan/perantis) dan syarikat (RM200 sebulan/perantis)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 1999 National Occupational Skills Standard (NOSS) yang merangkumi pelbagai bidang pekerjaan telah dibangunkan sehingga 31 Mei 2022.