PKR Cabang Port Dickson dakwa ada peniaga sorok barang

Saufi (tiga kiri) menyerahkan memorandum berkenaan kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Port Dickson, Mohd Shahril Wazer (empat kiri), pada Rabu.
Saufi (tiga kiri) menyerahkan memorandum berkenaan kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Port Dickson, Mohd Shahril Wazer (empat kiri), pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Port Dickson mendakwa terdapat peniaga di daerah ini dikesan menaikkan harga dan menyorokkan barang keperluan seperti ayam, telur ayam dan minyak masak peket.

Wakil PKR Cabang Port Dickson, Saufi Mi'ad berkata, tindakan peniaga itu dipercayai susulan kerajaan memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

"Hasil maklumat setakat ini termasuk rungutan daripada pengguna yang memaklumkan bekalan barang keperluan tersebut sukar diperoleh di pasaran terutama dalam tempoh seminggu ini.

"Peniaga disyaki mahu mengaut keuntungan atas angin berikutan selepas 1 Julai mereka boleh menjual dengan harga baharu yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan memorandum bagi mendesak pemantauan serta tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga dan menyorok barang keperluan berkenaan kepada KPDNHEP melalui Pejabat KPDNHEP Port Dickson, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saufi mengakui perbuatan peniaga yang menaikkan harga dan menyorokkan barang keperluan tersebut bukanlah perkara baru namun situasi itu semakin ketara sejak kebelakangan ini.

"KPDNHEP perlu melakukan rondaan pemantauan dengan lebih efisen bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap situasi semasa berhubung pemansuhan harga siling barang keperluan yang dinyatakan rakyat," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan KPDNHEP memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.