UMK naik taraf capaian internet semua kampus

Universiti Malaysia Kelantan. Gambar kecil: Razli
Universiti Malaysia Kelantan. Gambar kecil: Razli
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menaik taraf kemudahan capaian internet di semua kampus iaitu Bachok, Kota dan Jeli bagi memberi kemudahan kepada pelajar.

Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, bagi memastikan kemudahan itu berjalan lancar Pusat Komputeran dan Informatik (CCI) telah membuat persediaan awal termasuk kajian terperinci bagi menambah baik perkhidmatan sedia ada.

"Secara umumnya, UMK telah meningkatkan kelajuan internet (internet bandwidth) daripada 1.1Gbps kepada 6.4Gbps pada Oktober 2019 menerusi kerjasama Telekom Malaysia bagi memenuhi keperluan capaian dan liputan.

"Kerja-kerja naik taraf itu mengambil kira kadar pertambahan pelajar yang semakin meningkat dan kelajuan capaian internet sedia ada untuk tempoh tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pada masa yang sama usaha ini turut disokong menerusi inisiatif MyREN sebanyak 1Gbps yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau berkata, pihak KPT juga sedang merangka tambahan kapasiti MyREN bagi semua universiti awam di mana agihan untuk UMK akan ditingkatkan daripada 1Gbps kepada 10Gbps.

Katanya, selain itu UMK juga sedang merancang pembangunan capaian internet kepada Jawatankuasa Pemandu ICT KPT bagi menaik taraf infrastruktur rangkaian utama rangkaian di Kampus Kota, Kampus Jeli dan UMK Bachok.

"Ini bagi menyokong inisiatif KPT dalam meningkatkan MYREN melibatkan peralatan Core Switch, Multigig Access Switch, Transceiver dan Network Access Control (NAC).

"Pihak universiti telah mengambil pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah capaian internet tidak stabil dengan melaksanakan pemantauan audit kualiti capaian internet secara berkala, permohonan menggantikan peralatan usang dalam RP4 RMK12 dan menambah kuantiti penerima isyarat access point (AP) di kawasan Blind Spot di Asrama dan kampus," katanya.

Razli berkata, penambahan kapasiti (kouta) MyREN oleh KPT dijangka diperoleh pada 2023 dan pihak universiti akan sentiasa menwar-warkan kepada pelajar untuk memohon skim pakej peranti siswa yang ditawarkan oleh pihak kementerian.