Hospital Pendang kini siap 98 peratus

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (kiri) pada sidang media selepas Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini pada Rabu.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (kiri) pada sidang media selepas Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembinaan Hospital Pendang di Kampung Banggol Pauh di sini yang bakal menjadi mercu tanda baharu daerah Pendang akan memberi kelegaan kepada penduduk setempat apabila ia siap sepenuhnya kelak.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, ketika ini kerja-kerja pembinaan hospital berkenaan masih di peringkat 98 peratus.

Menurutnya, pembinaan Hospital Pendang akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk mendapatkan rawatan kesihatan diperlukan mereka.

"Saya melihat antara daerah dalam negeri Kedah yang tiada ada hospital lagi adalah Pendang. Pembinaan hospital ini akan meringankan bebanan penduduk dan mengurangkan kos ditanggung mereka.

"Sebelum ini, mereka akan menggunakan teksi ataupun menaiki kenderaan untuk ke kawasan-kawasan bandar seperti Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas peratusan pembinaan Hospital Pendang.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media selepas Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, perlu difahami bahawa Pendang merupakan kawasan pedalaman terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah yang mencari rezeki dengan mengusahakan sawah padi, menoreh getah, kelapa sawit dan sedikit hasil-hasil hutan.

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, beliau mendapati pembangunan hospital berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

"Hospital Pendang ini adalah hospital semi pakar. Jadi tentulah peralatan digunakan berteknologi tinggi dan berkualiti tinggi, yang mana perlu diimport dari luar negara. Jadi, perasmian hospital dijangkakan pada akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pembinaan hospital dilengkapi pelbagai kemudahan termasuklah ruang parkir luas berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk apabila siap dan beroperasi sepenuhnya tidak lama nanti.

"Apabila sudah masuk 2023, hospital mungkin sudah operasi sepenuhnya di situ," katanya.