Kerajaan, Dhaya Maju hampir selesai saman kes kontrak KVDT2

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu diberitahu bahawa kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd dan kerajaan hampir menyelesaikan tindakan undang-undang berhubung penamatan kontrak projek Landasan Berkembar Lembah Klang Frasa 2 (KVDT2).

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kes semakan kehakiman memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada Rabu, bahawa rundingan antara pihak-pihak terlibat telah mencapai peringkat yang memerlukan beberapa perkara dimuktamadkan.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan sebulan untuk mengetahui sama ada perkara itu akan diteruskan atau ditarik balik.

Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali, yang mengendalikan kes sivil yang difailkan terhadap kerajaan dan Wee, berkata beliau juga memerlukan sebulan untuk mendapatkan arahan lanjut daripada kementerian.

Peguam, Phang Huey Lynn dan Khoo Guan Huat yang mewakili Dhaya Maju LTAT dalam kes semakan kehakiman dan saman sivil kedua-duanya bersetuju perbicaraan ditangguhkan sebulan dan mengesahkan pihak-pihak terlibat hampir mencapai penyelesaian.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang mengetuai panel itu bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Mohd Yusof kemudian menetapkan 29 Julai untuk sebutan kes.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada September 2020, Dhaya Maju LTAT, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa keputusan kerajaan membatalkan projek KVDT2, yang diberikan pada 19 Ogos 2019, dan seterusnya membuka semula tender bagi projek itu, adalah batal dan tidak sah.

Bagi saman sivil, kerajaan memohon Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Julai tahun lepas, yang memberikan Dhaya Maju LTAT injunksi Erinford bagi menghalang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada mengambil sebarang tindakan selanjutnya berhubung pembatalan lesen syarikat (Dhaya Maju LTAT) untuk menduduki tapak projek KVDT2.

Mahkamah Rayuan telah membenarkan injunksi Erinford sementara menunggu selesainya rayuan syarikat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan syarikat itu tahun lepas untuk mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang kerajaan dan KTMB daripada mengarahkan syarikat itu menghentikan kerja projek KVDT2. - Bernama