Amanah mahu pecat Mohd Nor

Mohd Anuar Mohd Tahir
Mohd Anuar Mohd Tahir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir menegaskan Jawatankuasa Pengurusan Amanah akan mencadangkan pemecatan keahlian Mohd Nor Yassin, 67, kepada Jawatankuasa Tatatertib Parti.

Menurutnya, ia adalah susulan tindakan bekas pensyarah itu bertanding dalam PRK DUN Rantau meskipun tanpa menerima watikah pelantikan calon daripada parti.

“Sementara menanti keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti, semua ahli dan penyokong Amanah yang bertugas dalam PRK N27 Rantau adalah dengan ini diarahkan hanya membantu kempen calon daripada PH iaitu Dr S Streram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan semakan keahlian, Mohd Anuar mengakui Mohd Nor merupakan ahli Amanah dan baru sahaja menyertai parti tersebut.

Mohd Nor yang bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Rantau, hari ini, mengakui beliau masih ahli Pas.

Begitupun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menafikannya dan mendakwa bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban itu kini adalah ahli Amanah.

“Saya telah membuat semakan mengenai Status Keahlian PAS bagi penama Mohd Nor Yassin. Saya dengan ini mengesahkan rekod Pas menunjukkan dia adalah bukan ahli Pas setelah menyertai Amanah pada 10 Mac 2019.

“Sehubungan dengan itu, Mohd Nor yang bertanding sebagai salah seorang calon Bebas dalam PRK Rantau adalah seorang ahli Amanah yang juga merupakan Komponen PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam PRU13, Mohd Nor bertanding sebagai calon Pas bagi kerusi DUN Gemencheh di Negeri Sembilan namun beliau tewas kepada calon BN, Mohd Isam Mohd Isa dengan beza 3,025 undi.