Sila log masuk terlebih dahulu.

Ahmad Zahid diasak soalan, politik dan wang berpisah tiada

Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi soal balas prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram bermula tegang apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diasak oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dengan soalan mengenai rasuah, politik dan wang.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ahli politik mana sekali pun, sangat memerlukan wang bagi melaksanakan aktiviti.

Bagaimanapun beliau berkata, wang bukan segalanya, tetapi segalanya memerlukan wang.

Raja Rozela: Saya nak mulakan dengan keterangan Datuk Seri semalam, kisah suka duka dalam politik, cerita belakang tabir yang boleh saya katakan, tak semua dalam kalangan ahli politik tahu cerita itu... Datuk Seri tulis apa? Datuk Seri tulis apa? Datuk Seri... Datuk Seri tulis apa?

Ahmad Zahid: Soalan.

Raja Rozela: Oh, soalan. Semalam, Datuk Seri ada sebut tentang isu penyelewengan wang atau pecah amanah, Datuk Seri telah menamakan tiga ahli parlimen, jadi terlintas dalam fikiran saya bahawa isu politik dan wang, bagaikan tidak dapat dipisahkan, munasabahkah saya cakap begitu?

Ahmad Zahid: Setiap ahli politik parti mana pun, bagi melaksanakan aktiviti, seseorang itu sangat memerlukan wang, wang bukan segalanya, tetapi segalanya perlukan wang.

Raja Rozela: Setuju atau tidak jika saya tanya, politik dan wang bagaikan berpisah tiada.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid: Saya tak berpendapat sedemikian

Raja Rozela: Datuk Seri tak baca artikel The Wall Street Journal meletakkan Malaysia dalam kedudukan pertama indeks rasuah, sebagai negara paling teruk rasuah, sedih saya dengar perkara itu, Datuk Seri ada baca artikel berkenaan?

Ahmad Zahid: Saya baca sepintas lalu, baca tajuk.

Raja Rozela: Prinsip kedaulatan undang-undang bererti seseorang tak kira kedudukannya, miskin, kaya, berkuasa, berpengaruh atau berpangkat, semua tertakluk pada undang-undang yang sama.

Ahmad Zahid: Betul tetapi bukan tuduhan-tuduhan terpilih.

Raja Rozela: Jawab ya atau tidak, setuju atau tidak.

Ahmad Zahid: Yang Arif, saya perlu jelaskan, itu hak saya untuk menjawab.

Kedua-dua pihak ditenangkan oleh hakim Sequerah yang kemudiannya membenarkan Ahmad Zahid untuk memberikan penjelasan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik walaupun tiada sebarang keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan, menjurus ke arah itu.

Ahmad Zahid juga menawab ‘ya’ selepas Raja Rozela mencadangkan bahawa, bekas Timbalan Perdana Menteri itu beranggapan sedemikian hanya kerana beliau menceburi arena politik.

“Mengikut segi pendakwaan di atas kertas memang tidak, tapi dibelakang, saya tahu sangat ia bertujuan untuk bermotifkan politik,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaran bela diri bersambung jam 2.30 petang ini.