Calon Bebas bukan ahli Pas: Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mengesahkan salah seorang calon Bebas dalam PRK DUN Rantau, Mohd Nor Yassin, 67, bukanlah ahli parti itu selepas dia menyertai Amanah pada 10 Mac 2019.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, selepas semakan dibuat, Pas mendapati bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban itu kini adalah ahli Amanah.

“Saya telah membuat semakan mengenai Status Keahlian Pas bagi penama Mohd Nor Yassin. Saya dengan ini mengesahkan rekod Pas menunjukkan dia adalah bukan ahli Pas setelah menyertai Amanah pada 10 Mac 2019.

“Sehubungan dengan itu, Mohd Nor yang bertanding sebagai salah seorang calon Bebas dalam PRK Rantau adalah seorang ahli Amanah yang juga merupakan Komponen PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, Mohd Nor menafikan dirinya adalah ahli Amanah dan menegaskan dirinya masih lagi ahli Pas.

Ketika mengulas kenyataan Takiyuddin mengatakan dia menyertai Amanah pada 10 Mac lepas, Mohd Nor menegaskan dia tidak dapat maklumat berkenaan.

“Saya tak dapat maklumat itu (bahawa saya ahli Amanah. Saya masih Ahli Pas,” katanya.

Dalam PRU13, Mohd Nor bertanding sebagai calon Pas bagi kerusi DUN Gemencheh di Negeri Sembilan namun beliau tewas kepada calon BN, Mohd Isam Mohd Isa dengan beza 3,025 undi.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, dia membuat keputusan untuk bertanding dalam PRK DUN Rantau sebagai calon Bebas menentang calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; calon PKR, Dr S Streram dan seorang lagi calon Bebas, R Malarvizhi.

Menurutnya, dia bertanding di Rantau kerana mahu memastikan pembangunan berasaskan Islam dibawa ke kawasan tersebut.

“Saya pilih untuk bertanding bagi mengambil ruang demokrasi yang ada dan saya raih sepenuhnya.

“Saya masuk bertanding mesti mahu menang dan saya mahu bawa pembangunan berasaskan Islam di Rantau,” katanya.