Surau tertua di Perak Tengah dibaik pulih

Biamin (dua dari kiri) bersama Nordin (dua dari kanan) melawat Surau Latiffiah yang sedang dibaik pulih untuk dijadikan pusat pengajian Islam.
Biamin (dua dari kiri) bersama Nordin (dua dari kanan) melawat Surau Latiffiah yang sedang dibaik pulih untuk dijadikan pusat pengajian Islam.
A
A
A

PASIR SALAK - Sebuah surau dipercayai tertua di Perak Tengah di Kampung Bandar Tua, Kampung Gajah di sini yang terbiar akhirnya dibaik pulih untuk kegunaan penduduk setempat.

Madrasah Bumbung Lima atau kini dikenali Surau Latiffiah yang dibina pada akhir abad ke-18 pernah menjadi sebahagian sejarah perkembangan Islam di Perak.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, pembangunan surau tersebut dimulakan sejak tiga bulan lalu memberi wajah baharu surau yang tersergam di jalan utama berhampiran Kompleks Bersejarah Pasir Salak itu.

"Sebelum ini keadaannya daif hingga mendapat perhatian pihak kerajaan negeri untuk membaik pulih struktur surau dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kita akan cuba mengimarahkan kembali surau ini dengan mengadakan perbincangan bersama waris pengasas surau, Alang Abd Latif," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Menurut Nordin, pihaknya berhasrat surau berkenaan kembali menjadi tumpuan sebagai pusat pengajian agama.

"Kawasan ini suatu ketika dahulu terkenal dengan tinggalan sejarah Islam malah boleh menempatkan 100 jemaah pada satu-satu masa. Kita lihat banyak potensi yang boleh ditonjolkan sebagai tarikan utama ke Pasir Salak.

"Bukan itu sahaja, kita berharap surau berusia ratusan tahun ini menjadi tarikan pelancongan ke kawasan warisan bersejarah," katanya.

Laporan Sinar Harian tahun lalu.
Laporan Sinar Harian tahun lalu.

Sementara itu, generasi ketiga Alang Abd Latif, Biamin Shahuddin, 75, berkata, keluarganya bersyukur dan gembira dengan usaha dijalankan pelbagai pihak untuk membaiki surau yang diasaskan oleh datuknya itu.

"Surau ini memberi banyak nostalgia kerana pernah dijadikan pondok pengajian melibatkan ramai anak-anak murid dari luar seperti Banjar, Kampar dan sebagainya.

"Saya sendiri akan bersampan dari seberang ke surau ini untuk mengikuti kelas agama. Dahulu, sampan adalah pengangkutan utama dan surau ini dibina dengan kayu-kayu dibawa oleh kerbau dan gajah," katanya.

Biamin
Biamin

Menurutnya, surau itu akan digunakan sebaiknya untuk aktiviti agama dengan bahagian bawah dikekalkan untuk Sekolah Agama Rakyat Al-Latiffiah.

Surau itu mempunyai reka bentuk unik iaitu berbumbung lima dan pernah menjadi sebahagian sejarah perkembangan Islam di Perak Tengah.

Ia menjadi pusat pengajian agama Madrasah Tinggi Bandar Tua secara rasmi pada 1926 dengan mempunyai ratusan pelajar dan melahirkan ramai guru agama.

Selain itu, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dikatakan pernah mengunjungi madrasah tersebut ketika usaha kempen Kemerdekaan negara pada 1956.