Raja Perlis pengerusikan Mesyuarat Raja-Raja ke-259

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama Sultan Mizan Zainal Abidin ketika berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara, pada Rabu. - Foto Bernama
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama Sultan Mizan Zainal Abidin ketika berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Rabu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 9 dan 10 Mac lepas yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat itu yang bemula 11 pagi, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Tuanku Syed Sirajuddin kemudian berkenan menanam pokok Keriang di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Raja Perlis mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok tersebut.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok adalah cetusan idea Al-Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok pertama kali diadakan pada mesyuarat kali ke-255.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Johor.

Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Johor diwakili Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat berkenaan, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak diiringi Timbalan Premier. - Bernama