[VIDEO] Pesanan WhatsApp komunikasi terakhir bersama arwah adik

Siti Jainah menunjukkan pesanan WhatsApp terakhir yang diterima dari adiknya pada pagi hari kejadian.
Siti Jainah menunjukkan pesanan WhatsApp terakhir yang diterima dari adiknya pada pagi hari kejadian.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] "Arwah ada beritahu melalui aplikasi Whatsapp dia sekeluarga datang ke Pahang kerana ada urusan di Pejabat Tanah Pekan dan bercadang untuk singgah di rumah keluarga isterinya di Felda Chini.

"Saya sempat tanya sama ada dia balik kampung atau tidak pada hari raya Aidiladha nanti, namun tiada jawapan," kata Siti Jainah Basiron, 45 kakak kepada Allahyarham Muhammad Rosli Ibrahim 32 yang maut bersama isteri dan tiga anak dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat pada Selasa.

Siti Jainah berkata, pesanan WhatsApp yang diterima kira-kira jam 9 pagi itu menjadi komunikasi terakhir bersama Allahyarham adiknya itu.

Menurutnya, kejadian malang menimpa adiknya sekeluarga hanya diketahui kira-kira jam 5 petang selepas dihubungi salah seorang kakaknya yang tinggal di Perak.

"Memang terkejut apatah lagi selepas diberitahu semua yang berada dalam kereta itu termasuk isteri dan tiga anaknya turut terkorban," katanya ketika hadir membuat pengecaman jenayah di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Rabu.

Siti Jainah yang menetap di Kota Tinggi, Johor berkata, Allahyarham merupakan anak ke sepuluh daripada 13 adik-beradik dan rapat dengan keluarga termasuk dengannya biarpun tinggal berjauhan.

"Kami selalu berkomunikasi melalui group WhatsApp keluarga di mana saya, arwah dan seorang abang yang paling aktif berhubung selalunya melalui panggilan video.

"Cuba sejak kebelakangan ini dia agak jarang berhubung tidak seperti selalunya mungkin kerana sibuk dengan pekerjaannya sebagai pemandu bas," katanya.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Gambang-Muadzam Shah dekat Kampung Pulau Manis, pada Selasa.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Gambang-Muadzam Shah dekat Kampung Pulau Manis, pada Selasa.

Menurutnya kali terakhir dia menemui adiknya yang mesra dengan panggilan Luk itu pada hari raya Aidilfitri lalu.

Dia berkata, jenazah adiknya dan empat lagi ahli keluarga akan dibawa untuk dikebumikan di kampung halaman di Kampung Labu Kubung,Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Muhammad Rosli bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35 dan tiga anak Nur Safwa Irdina,7, Nur Sofea Raida, 6 serta bayi mereka maut selepas kereta dinaiki di terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.40 petang itu, semua mangsa maut di tempat kejadian.

Berdasarkan siasatan awal polis, lima beranak yang menaiki kereta jenis Toyota Corolla itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler tanpa muatan.