Ghislaine Maxwell dijel 20 tahun bantu dera kanak-kanak

Ghislaine Maxwell - Foto AP
Ghislaine Maxwell - Foto AP
A
A
A

NEW YORK - Ghislaine Maxwell dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Selasa kerana membantu seorang perunding kewangan Amerika Syarikat (AS) dan pembiaya, mendiang Jeffrey Epstein mendera kanak-kanak perempuan secara seksual.

Beliau yang berpendidikan Universiti Oxford ialah anak perempuan kepada seorang bekas Ahli Parlimen British dan pemilik akhbar, mendiang Robert Maxwell.

Hakim New York, Alison Nathan menjatuhkan hukuman itu di sebuah Mahkamah Persekutuan Manhattan yang penuh sesak.

Hukuman itu jauh lebih rendah daripada yang diminta oleh pendakwa raya.

Maxwell yang kini berusia 60 tahun dan rakan kepada anak pemerintah England, Ratu Elizabeth II, Putera Andrew dan bekas Presiden AS, Bill Clinton serta Donald Trump itu mungkin menghabiskan sebahagian besar sisa hidupnya di penjara.

Hakim menggelarkan jenayah Maxwell sebagai keji.

Pendakwa raya meminta Maxwell menerima hukuman antara 30 dan 55 tahun penjara dengan menyatakan dia seorang dewasa yang membuat pilihannya sendiri.

Dalam pada itu, Epstein menggantung diri di penjara pada tahun 2019 ketika menunggu perbicaraan jenayah seks di New York. - Agensi