Sila log masuk terlebih dahulu.

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Mata wang tempatan menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 sewaktu ditutup pada Selasa. - Foto 123rf
Mata wang tempatan menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 sewaktu ditutup pada Selasa. - Foto 123rf
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu, berikutan kemerosotan indeks penanda aras Amerika Syarikat (AS) malam tadi, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekuiti penanda aras AS mencatatkan kemerosotan malam tadi berikutan pelabur gelisah dengan laporan keyakinan pengguna AS.

Menurut Conference Board, indeks keyakinan pengguna AS merosot kepada 98.7 mata pada Jun berbanding 103.2 pada Mei paras terendah yang dilihat sejak Februari 2021.

"Kemerosotan itu mengukuhkan pandangan bahawa ekonomi AS dijangkakan perlahan pada masa akan datang berikutan pengguna bergelut dengan persekitaran kos yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, pengguna dijangka menyusun semula keutamaan corak perbelanjaan mereka yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana memandangkan perbelanjaan pengguna menyumbang 70 peratus daripada ekonomi AS.

Dalam pada itu, hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut hampir tiga mata asas kepada 3.17 peratus, manakala Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 104.506 mata.

"Gandingan dolar ringgit mungkin kekal suram, namun, laporan terkini mengenai semakan semula meningkat bagi unjuran penarafan berdaulat oleh S&P Global Ratings (S&P) daripada ‘negatif’ kepada ‘stabil,’ memperlihatkan kerajaan Malaysia mempunyai ruang fiskal untuk kekal berkembang.

Artikel Berkaitan:

"Penilaian penarafan S&P adalah bersandarkan pertumbuhan ekonomi yang teguh dan paras imbangan luaran yang baik," katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3630/3660 daripada 5.3899/3918 sewaktu ditutup pada Selasa, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1694/1717 daripada 3.1726/1742 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6278/6305 daripada 4.6527/6543 pada Selasa.

Bagaimanapun, mata wang tempatan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2349/2370 daripada 3.2333/2346 sebelum ini. - Bernama