Tawaran LAFC sukar ditolak Bale

Bale
Bale
A
A
A

PEMILIK Cardiff City, Vincent Tan mengakui beliau hampir berjaya untuk meyakinkan Gareth Bale bagi menyertai kelabnya, namun tawaran yang diterima daripada Los Angeles FC (LAFC) disifatkan terlalu menggoda.

Menurut Vincent, Bale sebenarnya mahu bermain untuk kelab di negara asalnya namun Cardiff tidak mampu bersaing daripada segi keuntungan komersial yang mampu dijana berbanding bermain di Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyebabkan pemain berusia 32 tahun tersebut akhirnya memilih untuk beraksi dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS).

“Kami amat berminat mendapatkan Bale dan sekiranya dia bersetuju untuk menyertai kami sudah tentu ia merupakan kejayaan terbesar kelab. Ia sangat hebat jika Bale bermain di kampung halamannya, semua rakyat Wales juga pasti gembira jika dia menyertai Cardiff.

“Secara peribadi, saya rasa tawaran LAFC terlalu menarik untuk ditolak. Pada asalnya dia mahu ke sini sambil memberitahu wang bukanlah segala-galanya.

“Kami memberikan tawaran bagus untuknya dan dia juga berminat namun tawaran LAFC sukar untuk ditolak. Kami sudah cuba yang terbaik tetapi gagal,” katanya.

Sebelum ini, Bale dilaporkan bersetuju untuk menyertai kelab LAFC secara percuma selepas dilepaskan oleh Real Madrid.

Perkembangan itu disahkan pemain sayap itu sendiri dalam satu hantaran di laman Twitter miliknya yang memberitahu perancangannya untuk menyertai LAFC.

Difahamkan Bale akan terbang ke Los Angeles pada hujung minggu depan untuk menandatangani perjanjian hingga tamat musim ini dengan pilihan tambahan satu tahun.