Terengganu hargai peranan dimainkan badan pemikir, NGO

Ahmad Samsuri (duduk, enam dari kiri) ketika menghadiri pertemuan bersama BesutMaju di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Ahmad Samsuri (duduk, enam dari kiri) ketika menghadiri pertemuan bersama BesutMaju di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Terengganu amat menghargai peranan dimainkan badan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang pandangan dan idea bagi pelaksanaan pembangunan di negeri tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kewujudan badan sedemikian amat penting dalam membantu kerajaan negeri mengenalpasti secara jelas penambahbaikan perlu dilakukan khususnya di peringkat daerah.

“Sebagaiman yang kita faham mengurus tadbir sesebuah negeri bukan sekadar tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Tapi semua pihak daripada rakyat sampai ke pemimpin kerajaan masing-masing ada peranan dan tentunya ia termasuk NGO dan badan pemikir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa menghadiri pertemuan bersama BesutMaju di sebuah hotel, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman; ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi BesutMaju, Datuk Mohd Nawawi Ismail.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut, Terengganu, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Pada pertemuan tersebut, Ahmad Samsuri turut mendengar pandangan dan cadangan dikemukakan wakil BesutMaju bagi memajukan daerah Besut antaranya membabitikan isu pembangunan sektor pelancongan, pembandaran dan kebajikan penduduk.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pandangan dikemukakan pada pertemuan tersebut dilihat sangat relevan dan pihaknya akan meneruskan pertemaun tersebut secara berkala pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd Nawawi berkata, pertemuan berkenaan merupakan titik permulaan buat pihaknya dalam kerjasama dengan pentadbiran negeri pimpinan Ahmad Samsuri.

“Kita percaya Menteri Besar sudah mendengar hasrat kita dan dia telah dapat menilai bagaimana niat murni kita dalam mencungkil idea yang bernas untuk kita sampaikan kepada kerajaan negeri bagi manfaat bersama.

“Paling penting buat BesutMaju adalah kita mahu lihat pembangunan yang dilakukan di daerah Besut itu mempunyai memberikan kebaikan dan keutamaan kepada masyarakat,” ujarnya.