Mohd Shafiq bawa teladan terbaik perkhidmatan awam

Mohd Shafiq melakukan lawatan mengejut di KIK Bangunan Sultan Iskandar Johor Bharu pada Sabtu lalu.
Mohd Shafiq melakukan lawatan mengejut di KIK Bangunan Sultan Iskandar Johor Bharu pada Sabtu lalu.
A
A
A

MERAK Jalanan memang angkat topi kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baru iaitu Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau yang dilantik sebagai KPPA pada 10 Februari lalu telah menunjukkan kualiti terbaik sebagai seorang pemimpin utama dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Tindakan beliau yang melakukan lawatan ke Kementerian Sumber Manusia telah mengejutkan banyak pihak.

Difahamkan, beliau telah mengambil inisiatif sendiri bagi turun ke lapangan dan mendengar pelbagai rintihan daripada rakyat.

Pada Sabtu lalu, Mohd Shafiq juga telah mengadakan lawatan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar Johor Bharu.

Beliau mahu melihat sendiri proses kerja serta isu-isu yang dihadapi oleh pengguna serta penjawat awam yang bertugas di kaunter Imigresen.

Merak Jalanan berharap lawatan-lawatan mengejut yang dilakukan itu dapat membuahkan hasil dan menyelesaikan apa juga masalah yang timbul.

Justeru bagi Merak Jalanan, tindakan Mohd Shafiq ini perlu dicontohi oleh semua pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mungkin suatu hari mengambil alih jawatan sebagai KPPA.

Beliau tidak sekadar duduk di atas kerusi yang empuk dan berada dalam pejabat yang nyaman serta berhawa dingin.

Sebaliknya, Mohd Shafiq membuat keputusan untuk turun padang dan melihat dengan mata serta kepalanya mengenai apa yang berlaku di bawah.

Jika perkara inilah amalan yang boleh dilakukan oleh semua pegawai kerajaan maka Merak Jalanan yakin bahawa masa depan negara kita cerah.

Bagaimanapun, jika mengharapkan Mohd Shafiq sahaja tidak memadai tetapi perbuatan ini mestilah menjadi teladan kepada semua pihak.