FAM tetapkan sasaran separuh akhir buat skuad B-19

Hamidin bersama skuad B-19 yang menyertai Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Jakarta, Indonesia bermula dari 2 hingga 15 Julai ini.
Hamidin bersama skuad B-19 yang menyertai Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Jakarta, Indonesia bermula dari 2 hingga 15 Julai ini.
A
A
A

SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) negara ditetapkan sasaran mara ke separuh akhir pada Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Jakarta, Indonesia bermula dari 2 hingga 15 Julai ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, selepas sasaran itu tercapai, pihaknya berharap agar Skuad B-19 negara akan meneruskan momentum kemenangan untuk melangkah ke final.

"Pasukan negara juga diingatkan supaya menepis setiap tohmahan negatif dengan mempamerkan permainan yang membanggakan nanti," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Untuk rekod, skuad muda negara itu dijadual berlepas ke Jakarta pada Khamis ini.

Hamidin turut mengingatkan setiap pemain yang menyarung jersi kebangsaan untuk memanfaatkan peluang dengan sebaiknya, dengan meletakkan misi untuk mencipta kejayaan demi Malaysia dan bukan bersifat peribadi.

Sementara itu, beliau berkata meskipun skuad wanita kebangsaan tidak mencatat kemenangan menentang Bangladesh pada dua aksi persahabatan di Dhaka baru-baru ini, Hamidin mengakui skuad Malayan Tigress menunjukkan peningkatan prestasi.

"(Selepas dibelasah 0-6 pada aksi pertama), saya tengok ada peningkatan (untuk mengikat Bangladesh 0-0), tetapi belum cukup kerana masih ada kelompongan perlu kita baiki segera. Ini kerana kita perlu mengkaji siapa lawan kita dan perlu sentiasa peka posisi pihak lawan, tahu tanggungjawab posisi kita serta pantas bertindak.

Bukan mudah untuk kita terpilih menyarungkan jersi negara dan pastinya terlalu banyak pengorbanan yang sudah dilalui, gunakan kepercayaan ini untuk beraksi dengan baik sekali gus menjulang nama negara," katanya.

Skuad Malayan Tigress dijadual berlepas ke Manila pada 1 Julai ini untuk beraksi pada saingan Kejuaraan Wanita AFF 2022 di Binan City, yang berlangsung dari 4 hingga 12 Julai.

Terdahulu hari ini, Hamidin mengadakan pertemuan dengan skuad B-19 dan wanita kebangsaan. - Bernama