Badan Peguam Malaysia bantah permohonan Laidlaw wakili Najib

Najib Tun Razak. - Foto Bernama
Najib Tun Razak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat 21,659 peguam yang berpengalaman di Malaysia untuk dipilih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mewakilinya dalam rayuan terakhir bekas perdana menteri itu bagi kes berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, kata Badan Peguam Malaysia.

Setiausaha Badan Peguam Malaysia, B Anand Raj dalam afidavit yang difailkan pada Isnin berkata, peguam Najib ketika ini, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memiliki lebih banyak pengalaman, dan lebih layak berbanding Jonathan Laidlaw.

Katanya, Badan Peguam Malaysia membantah permohonan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom, untuk mewakili Najib dalam rayuannya.

Anand berkata, Muhammad Shafee sendiri memiliki pengetahuan dan berpengalaman luas, kerana dia pernah berhujah dalam banyak kes melibatkan peruntukan undang-undang jenayah, dan pertuduhan yang berkaitan dengan rayuan Ahli Parlimen Pekan itu.

"Berdasarkan kenyataan bahawa Muhammad Shafee serta pasukan pembelaan telah terlibat dengan kes itu, dan sudah biasa dengan pertuduhan serta peruntukan berkanun yang terlibat sejak dari permulaan, Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa Muhammad Shafee sendiri mempunyai pengalaman luas dan kelayakan tinggi berhubung isu yang belum selesai dalam rayuan itu, lebih daripada pemohon (Laidlaw)," katanya.

Anand berkata, bahawa hanya pada tahun-tahun awal selepas Malaysia mencapai kemerdekaan daripada UK pada 1957 apabila terdapat bilangan peguam tempatan terhad, yang memerlukan bantuan daripada QC dan pakar asing.

"Hari ini pada tahun 2022, yakni 65 tahun selepas merdeka, Badan Peguam Malaysia telah berkembang dengan hebat, secara kuantitatif dan kualitatif. Kami mempunyai 21,659 peguam bela dan peguam cara yang memiliki Sijil Tahunan dan Amalan yang sah pada 27 Jun 2022.

"Ada ramai peguam bela dan peguam cara yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang litigasi pembelaan jenayah sehingga peringkat rayuan tertinggi. Penelitian terhadap kelayakan dan pengalaman pemohon (Laidlaw) seperti yang dinyatakan dalam afidavit itu (oleh Muhammad Shafee) menunjukkan bahawa beliau adalah QC terkemuka di UK dan mempunyai pengalaman yang pelbagai dan luas dalam pelbagai bidang kuasa.

"Beliau bagaimanapun tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman khas dalam sistem perundangan Malaysia, sistem jenayah Malaysia dan dalam perundangan lain yang berkaitan yang diperlukan untuk rayuan," katanya.

Anand berkata, perkara inilah yang sebenarnya terdapat dalam kalangan peguam bela dan peguam cara peguam jenayah terkemuka di Malaysia.

Beliau seterusnya menambah bahawa Laidlaw tidak menunjukkan beliau biasa dengan statut, amalan dan prosedur tempatan Malaysia yang sedang berkembang, serta sistem perundangannya, 65 tahun selepas Merdeka.

Permohonan untuk mendapatkan khidmat QC akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Julai di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 25 Januari lalu, firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat kepada Sekretariat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik QC bagi membantu beliau dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib kerana menyalah guna RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020. - Bernama