Sila log masuk terlebih dahulu.

Kes jangkitan saluran pernafasan di Johor meningkat 70.9 peratus

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 952 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan di Johor hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-25/2022, iaitu peningkatan sebanyak 70.9 peratus berbanding 557 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, bilangan kluster wabak berkenaan yang dilaporkan hingga ME 25/2022 juga menunjukkan peningkatan, iaitu 11 kluster berbanding tujuh kluster bagi tempoh sama tahun lepas.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin memaklumkan bahawa kebelakangan ini terdapat peningkatan trend bagi kes dan wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) di negeri ini.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah melibatkan institusi pendidikan iaitu sebanyak 91 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

Menurut beliau, pemantauan dijalankan oleh JKNJ terhadap jangkitan ILI dan URTI mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan.

Tian Soon berkata, sehubungan itu, JKNJ menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan iaitu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan.

"Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau pelitup muka.

Artikel Berkaitan:

"Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya satu meter dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala selain digalakkan mendapatkan pelalian vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan swasta," katanya.

Beliau berkata, JKNJ akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI dan URTI di Johor serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya. - Bernama