Tiada elemen sorok minyak masak di Lotus Kajang

Alexander
Alexander
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada elemen sorok bekalan minyak masak polibeg dan botol berlaku di Lotus cawangan Kajang.

Sebaliknya kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hasil penelitian mendapati kekurangan bekalan di premis Lotus Kajang adalah kes terpencil memandangkan pusat jualan, pasar raya dan kedai di kawasan berdekatan masih menyediakan bekalan untuk dibeli pengguna.

"Penelitian lanjut turut menunjukkan kekurangan stok minyak masak botol hanya berlaku di premis Lotus Kajang, namun bekalan masih banyak dan penuh di rak bagi Lotus Ara Damansara, Kuala Selangor dan Wangsa Walk," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.

Menurutnya, Lotus telah mengemukakan penjelasan di sebalik isu kekurangan bekalan keperluan di rak di premis Kajang.

"Seperti dimaklumkan masalah berkenaan akan cuba ditangani secepat mungkin demi manfaat pengguna," katanya.

Tegasnya, KPDNHEP tidak teragak-agak membatalkan lesen mana-mana pengusaha dan pengurus premis yang didapati menyorokkan bekalan, sehingga menyukarkan pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Minyak masak menjadi pilihan ramai pengguna untuk mendapatkannya susulan subsidi terhadap kemasan botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg dimansuhkan pada 30 Jun ini.