Ahmad Maslan pertahan Zahid Hamidi

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tampil mempertahankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyenaraikan beberapa kejayaan yang dicapai di bawah pimpinan presiden parti itu.

Beliau berkata demikian selepas pendedahan yang dilakukan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkenaan terdapat beberapa desakan untuk Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden.

Ahmad berkata, setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Barisan Nasional (BN) dan UMNO di bawah Zahid berjaya bangkit semula dengan memenangi tujuh pilihan raya kecil (PRK) serta beberapa pilihan raya negeri (PRN).

“BN telah memenangi 21 daripada 28 kerusi di Melaka selain memenangi 40 daripada 56 kerusi Johor. Selain itu, 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah juga berjaya menang.

“BN dan UMNO turut berjaya mengambil alih Perak selain rakan karib BN di Sarawak memenangi 76 daripada 82 kerusi merangkumi 93 peratus dan ia merupakan kemenangan terbesar setakat ini,” katanya pada Selasa.

Dalam masa sama, Ahmad menyifatkan kejayaan terbesar di bawah pimpinan Ahmad Zahid adalah 15 ahli Parlimennya menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seterusnya membolehkan Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Semoga pasukan yang ada ini berjaya membawa UMNO dan BN memenangi semula Malaysia untuk manfaat rakyat dengan menang dua per tiga majoriti. inshaALLAH,” ujarnya.

Pada Isnin, Tajuddin menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatan presiden secara terhormat demi kepentingan parti.

Tajuddin turut mendakwa terdapat gerakan dalam parti yang diketuai Mohamad Hasan dan Najib dan disokong hampir 130 ketua bahagian meminta Ahmad Zahid untuk berundur.

Namun demikian, media melaporkan, Ahmad meragui pendedahan yang tersebut dengan meminta Tajuddin memberikan jumlah yang tepat berkenaan sokongan tersebut.