Anwar didesak beri justifikasi isu sokongan kluster mahkamah

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak agar tampil memberi justifikasi mengenai kesediaan mendapatkan sokongan kluster mahkamah bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif Bahardin berkata, pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan dakwaan dan desas-desus wujud pakatan sulit antara Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Apakah yang beliau (Anwar) telah janjikan kepada Ahmad Zahid dan kluster mahkamah bagi memenuhi obsesi patologikalnya untuk bergelar seorang Perdana Menteri?

"Hipokrasi politikus PKR dan DAP juga cukup memualkan apabila tanpa segan menyelar ahli politik PN dengan pelbagai panggilan tetapi diam seribu bahasa apabila terbukti Presiden PKR sendiri sanggup menerima sokongan ahli Parlimen dari kluster mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tajuddin yang merupakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Isnin mendedahkan wujud akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Ahmad Zahid tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

Tajuddin mendakwa, beliau turut digesa menandatangani SD tersebut sehingga timbulnya isu jajaran baharu ketika itu.