Penganjur GUT terus cari Acap

Nik Khairul Amri menunjukkan lokasi-lokasi pencarian Acap oleh kumpulan pendaki.
Nik Khairul Amri menunjukkan lokasi-lokasi pencarian Acap oleh kumpulan pendaki.
A
A
A

GOPENG - Meskipun operasi pencarian Acap telah ditamatkan, pihak penganjur Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 bertanggungjawab sepenuhnya dengan meneruskan pencarian pelari itu dengan dibantu oleh sukarelawan pendakian yang lain.

Penganjur GUT (Teknikal), Nik Khairul Amri Nik Hassan berkata, pencarian melibatkan 80 orang itu akan dilanjutkan sekurang-kurangnya tiga hari dengan meninjau semula lokasi-lokasi laluan mangsa.

"Pencarian ini adalah atas inisiatif sendiri di mana kami akan melanjutkan pencarian mangsa dengan bantuan rakan-rakan pendaki termasuk Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar), peserta larian dan rakan-rakan mangsa termasuk ahli keluarganya.

"Kita akan bermula di lokasi awal perlumbaan dan meninjau semula lokasi dilaporkan hilang hingga laluan lain yang menyebabkan mangsa mungkin tersasar dan akan cuba sebaik mungkin dengan harapan mangsa akan dijumpai," katanya ketika ditemui di Gua Tempurung di sini.

Sekumpulan pendaki menaiki pacuan empat roda untuk ke lokasi tertentu bagi meneruskan pencarian Acap, semalam.
Sekumpulan pendaki menaiki pacuan empat roda untuk ke lokasi tertentu bagi meneruskan pencarian Acap, semalam.

Menurutnya, kehilangan Acap adalah kes pertama kali dikendalikannya sepanjang tiga kali program itu dianjurkan di lokasi yang sama.

"Biasanya peserta yang sesat berjaya ditemui semula dan kes kali ini agak pelik, kami bertanggungjawab dalam memastikan kesemua peserta dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Hendak kata serik untuk menganjurkan program seumpama ini, tidak juga kerana kami melihat kejadian ini sebagai proses pembelajaran kepada penganjur untuk meningkatkan kualiti penganjuran akan datang," katanya.

Nik Khairul Amri berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan keluarga mangsa bagi memaklumkan situasi terkini pencarian bagi memastikan keluarga lelaki itu sentiasa dalam keadaan positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi cari Acap dihentikan

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah tiga hari, Ashraf belum ditemui

Terdahulu operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta larian Gopeng Ultra Trail yang dilakukan oleh pasukan penyelamat sejak tujuh hari lalu, secara rasminya dihentikan pada jam 1 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, lebih 700 pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta orang awam telah terlibat dalam pencarian membabitkan kawasan seluas 35KM persegi meliputi kawasan Bukit Batu Putih hingga Plaza Tol Gopeng.