Kerajaan negeri laksana 7 inisiatif perkasa sekuriti makanan

Antara pimpinan negeri dan menteri kabinet yang hadir pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa.
Antara pimpinan negeri dan menteri kabinet yang hadir pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri bakal melaksanakan tujuh inisiatif bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu dicapai pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa yang turut dihadiri oleh menteri kabinet berkaitan.

Katanya, antara inisiatif tersebut adalah langkah untuk meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian.

Katanya, langkah itu akan dilakukan dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

“Peningkatan keluasan tanah untuk pertanian itu juga akan dilaksanakan dengan cara memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

“Pihak berkuasa negeri juga boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, inisiatif lain turut dipersetujui ialah pengekalan pengezonan kawasan jelapang padi, pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan pembangunan TKPM yang terbengkalai serta belum dimajukan.

Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa.
Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bersetuju untuk mengambil inisiatif mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan; menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat serta proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

Ismail Sabri berkata, inisiatif lain diputuskan pada mesyuarat itu adalah penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan dan Menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi bersama Kerajaan Persekutuan.

Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan. Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut.

Pada masa sama, beliau memaklumkan mesyuarat tersebut juga telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

“Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

“Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar,” jelas beliau.