Sila log masuk terlebih dahulu.

ABIM cadang tambah baik had kifayah zakat

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis agama Islam negeri-negeri disaran agar menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.

Menurutnya, pendekatan itu perlu dalam pengemaskinian data had kifayah sebagai langkah awal mengatasi pertambahan jumlah golongan miskin.

“Berdasarkan situasi semasa, umat Islam dalam kelompok di luar kadar had kifayah berpotensi untuk jatuh ke dalam kelompok miskin.

“Ia berlaku akibat kos keperluan asas yang melambung naik dan dalam masa sama pendapatan semasa mereka kekal tidak bergerak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sebanyak 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat wabak Covid-19 pada tahun lalu.

Ujarnya, situasi itu menunjukkan kedudukan taraf hidup dan kemiskinan warga hari ini bersifat rapuh dan boleh berubah apabila wujud situasi yang menekan.

“Maka, dalam ukuran garis kemiskinan dan had kifayah, ia harus dilihat secara multidimensi selain berasaskan data dan angka semasa,” katanya..

Artikel Berkaitan:

Jelas Muhammad Faisal, salah satu langkah menyeluruh untuk membanteras kemiskinan adalah dengan membuka ruang dan peluang bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Ini dalam masa sama dapat menghapuskan kitaran kemiskinan selain daripada keperluan asasi seperti makanan dan minuman.

“Mengambil contoh inisiatif yang digerakkan ABIM dalam membasmi kitaran kemiskinan menerusi penubuhan Adab Youth Garage (AYG-ABIM) menyaksikan keperluan untuk menyiapkan peluang buat golongan belia terutama miskin bandar untuk dibantu keluar daripada lingkungan kemiskinan sehingga mencapai tingkatan kehidupan yang lebih baik.

“Justeru, ABIM optimistik menerusi langkah-langkah penambahbaikan ini akan dapat merealisaskan tujuan zakat iaitu menyempurnakan amanah dengan saling membantu sesama Islam dengan memenuhi hajat dan keperluan mereka yang memerlukan,” jelasnya.