DBP pinda akta, perkukuh bahasa kebangsaan

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang meminda Akta DBP 1959 untuk dibentangkan kepada Parlimen secepat mungkin bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu diperkukuh dan dipertahankan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi asas jati dan identiti negara.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, pindaan akta baharu itu juga akan memberi kuasa kepada agensi berkenaan untuk memastikan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak diabaikan.

"Pindaan ini memberi kuasa kepada DBP dari segi penguatkuasaan dan tindakan undang-undang jika terdapat pelanggaran penggunaan bahasa Melayu dan antara perkara yang dicadangkan ialah tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja menghina dan memperlekeh bahasa kebangsaan.

"Perkara ini dilakukan berasaskan peraturan dan undang-undang yang ada, ia bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi untuk memastikan keharmonian masyarakat berasaskan Perlembangaan dan Rukun Negara," katanya kepada pemberita di Bandar Melaka di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Abdul Rahim Harun.

Mengulas lanjut, Abang Sallehuddin berkata, pindaan itu juga antara tuntutan masyarakat yang berasa sangat rimas dengan keadaan sesuatu bandar atau kawasan dalam Malaysia ini yang seolah-seolah berada di negara asing berikutan tidak menggunakan bahasa kebangsaan seperti pada jalan, papan tanda dan sebagainya.

"Ini yang kita akan selaraskan kerana ada peraturan-peraturan tertentu di pihak berkuasa tempatan dan ia akan dibincangkan bersama agensi-agensi tertentu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DBP akan mempertingkat kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia bagi penerbitan majalah dan media sosial bagi meuar-uarkan kejayaan penyelidik tempatan menghasilkan teknologi setanding dengan negara luar yang dilihat mampu memberi kebanggaan kepada masyarakat.

"Mungkin selama ini segelintir masyarakat hanya ingat teknologi yang diambil dari luar tetapi tidak mengetahui banyak penemuan baharu dan penghasilan teknologi dihasilkan dalam negara.

"Menerusi penerbitan yang dihasilkan ini juga boleh mendedahkan kepada masyarakat berkaitan hal ini dalam menyemarakkan kegiatan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai," katanya. - Bernama