KPKT sasar 44 balai bomba baharu sehingga 2021

Mohammad bersama wakil kementerian dan bomba bergambar kenangan dengan penduduk Pulau Perhentian.
Mohammad bersama wakil kementerian dan bomba bergambar kenangan dengan penduduk Pulau Perhentian.
A
A
A

BESUT - Kerajaan memperuntukkan RM368.3 juta bagi membina 44 balai bomba di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, daripada jumlah itu, sebuah balai kategori B akan dibina, manakala masing-masing 12 dan 31 bagi balai C dan D.

Menurutnya, pembinaan balai bomba baharu itu bagi memenuhi keperluan terutamanya di kawasan-kawasan kritikal.

"Sebahagian daripadanya sedang dibina dan 24 daripadanya akan siap pada tahun ini, manakala 6 balai lagi akan siap pada 2020 dan selebihnya pada tahun 2021.

"Setakat ini terdapat 303 balai bomba di seluruh negara. Kita memang berhasrat untuk bina lebih banyak balai-balai bomba tetapi ada kekangan daripada segi bajet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kempen Keselamatan Kebakaran peringkat negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian di sini, hari ini.

Mohammad Mentek
Mohammad Mentek

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Menurutnya, pembinaan diberi keutamaan di kawasan lebih kritikal seperti kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta faktor ekonomi yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, pihaknya akan menubuhkan lebih banyak pasukan bomba sukarela, terutama di pulau yang mempunyai resort dan penempatan agak tinggi.

"Setakat ini pulau peranginan yang sudah ada balai bomba lengkap adalah Pulau Pangkor dan Pulau Tioman tapi oleh sebab kekangan anggota, kita lantik bomba bantuan di samping anggota tetap terlatih.

"Di resort pula, kita mungkin boleh tubuhkan pasukan bomba sukarela dalam kalangan pekerja. Mereka bukan sekadar bantu jika ada sebarang kecemasan atau kebakaran di resort, tapi boleh juga bantu penduduk kampung jika diperlukan," katanya.

Menurutnya, bomba juga merancang untuk membina sebuah balai bomba kekal di Pulau Perhentian atau Pulau Redang, namun ia masih di peringkat penilaian kesesuaian.