Hanya 10 peratus penyewa salah guna PPR kerajaan Selangor: Exco

Haniza Mohamed Talha
Haniza Mohamed Talha
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya 10 peratus daripada 2,432 unit rumah dari tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di bawah seliaan kerajaan Selangor dikenal pasti disalahguna oleh penyewa tidak bertanggungjawab yang menyewakan kediaman itu kepada penyewa lain.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, jumlah tersebut tidak besar, namun itu tidak bermakna kerajaan negeri akan membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemutihan secara berterusan terhadap aktiviti sewa atas sewa ini bagi memastikan ia tidak menular.

"Ketika jumlah kes ini masih kecil, kita perlu beri perhatian bagi membanteras budaya ini supaya penyewa sedar mereka perlu patuhi syarat ditetapkan atau terpaksa berdepan dengan tindakan kerana melanggar peraturan.

"Selain itu, kita juga dalam proses perbincangan dengan jabatan imigresen, syarikat utiliti serta pihak keselamatan bagi menjalankan tindakan bersepadu kerana pelanggaran syarat sewa ini bukan hanya satu kes tapi ada yang melibatkan kes melebihi tempoh sewa ditetapkan, curi elektrik, tunggakan sewa dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, sebelum pemutihan atau operasi dibuat, penyewa akan diberi notis pemakluman berhubung perkara tersebut.

Katanya, penyewa yang melanggar syarat diminta tampil memaklumkan kepada Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dan menyerahkan kunci.

"Serah semula unit kepada kita dan keluar segera, jika mereka boleh sewakan kediaman itu kepada orang lain bermakna mereka dah tak layak untuk menyewa... jangan nafikan hak orang lain yang benar-benar memerlukan dan memohon ikut syarat.

Artikel Berkaitan:

"Jika dalam tempoh notis diberikan, mereka masih berdegil dan apabila pemutihan dilakukan mereka tertangkap, tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Haniza berkata, dalam kebanyakan kes sewa atas sewa di tiga PPR ini, ia hanya melibatkan sewaan ke atas orang tempatan yang rata-ratanya juga dikenal pasti layak untuk menyewa kediaman di situ.

"Orang yang terlibat sewa atas sewa ini juga didapati melanggar peraturan ditetapkan kerana mereka tidak memohon kediaman itu melalui PHSSB yang bertanggungjawab menguruskan bangunan di situ," katanya.

Beliau berkata, walaupun membayar sewa tetapi tindakan mereka adalah secara haram dan tidak betul

"Mereka sepatutnya memohon ikut saluran yang betul dan menunggu giliran seperti pemohon-pemohon lain," katanya.

Tiga PPR di bawah seliaan kerajaan negeri Selangor adalah di Kota Damansara sebanyak 1,152 unit, Hicom (980) dan Serendah (300).

ARTIKEL BERKAITAN: Perjanjian terbatal jika sewakan rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Kaut untung atas angin

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan banyak PPR, perumahan Awam (PA) serta perumahan kos rendah yang dibina kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampuan disalahguna dan disewakan kepada penyewa warga asing serta tempatan bagi mengaut keuntungan atas angin.