134 pelajar UUM terima komputer riba

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah (tengah) bersama pelajar menerima komputer riba sempena Majlis Penyerahan Komputer Riba FWD Takaful Berhad kepada pelajar UUM di Dewan Sri Angsana EDC-UUM, pada Isnin.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah (tengah) bersama pelajar menerima komputer riba sempena Majlis Penyerahan Komputer Riba FWD Takaful Berhad kepada pelajar UUM di Dewan Sri Angsana EDC-UUM, pada Isnin.
A
A
A

SINTOK - Seramai 134 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari golongan berpendapatan rendah (B40) menerima komputer riba sumbangan FWD Takaful Berhad, pada Isnin.

Menurut Unit Komunikasi Korporat UUM dalam satu kenyataan, sumbangan komputer riba berkenaan melibatkan nilai keseluruhan hampir RM400,000.

"Ia adalah hasil kerjasama yang terjalin antara Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF) Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM dengan FWD Takaful Berhad yang diharapkan bakal memberi manfaat kepada pelajar B40 dari pelbagai pusat pengajian di UUM.

"Selain menerima komputer riba, kesemua pelajar berkenaan yang merupakan peserta FWD Kasih iaitu produk mikrotakaful mampu milik ditawarkan FWD Takaful Berhad turut menerima perlindungan manfaat takaful sehingga RM40,000.

"Menerusi kerjasama ini, pelajar didedahkan tentang kepentingan pengurusan risiko dan perancangan takaful," menurut kenyataan itu, pada Selasa.

Sebelum itu, penyerahan disempurnakan Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah bersama Ketua Pegawai Strategi dan Saluran Digital FWD Takaful Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi pada Majlis Penyerahan Komputer Riba FWD Takaful Berhad kepada pelajar UUM di Dewan Sri Angsana EDC-UUM,di sini.

Katanya, hubungan kerjasama antara UUM dan FWD Takaful telah dibina sejak tahun 2019 melalui penyelidikan, pembangunan pelajar dan projek komuniti.