Sila log masuk terlebih dahulu.

KPDNHEP rampas 13.6 tan metrik minyak masak bersubsidi

Anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor memeriksa tangki minyak masak terpakai di sebuah kilang di Kota Masai pada Isnin.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor memeriksa tangki minyak masak terpakai di sebuah kilang di Kota Masai pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor membongkar kegiatan mencampur minyak masak subsidi dengan minyak masak terpakai melalui satu serbuan di sebuah kilang di Kota Masai di sini, pada Isnin.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, serbuan dijalankan enam penguat kuasa KPDNHEP pada jam 11 pagi itu turut melibatkan rampasan sebanyak 13.6 tan metrik minyak masak bersubsidi yang diseleweng, selain penahanan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga pemilik syarikat.

"Premis yang diserbu disyaki menjalankan kegiatan ini di sebalik aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai.

"Aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dilakukan dengan cara memotong minyak masak plastik polibag (peket) dan mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan yang lebih," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Hairul Anuar, sitaan turut dibuat ke atas peralatan yang diguna pakai bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi serta rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

"Kesemua barangan tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM88,785.

"Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis tersebut," katanya.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan: