Vinales sedia berkorban pastikan Aprilia juara

Vinales. - Foto MotoGP
Vinales. - Foto MotoGP
A
A
A

PELUMBA Aprilia, Maverick Vinales sedia ‘berkorban’ dalam usaha memastikan pasukannya itu muncul juara bagi saingan MotoGP musim ini.

Menurut Vinales, bagi memastikan hasrat berkenaan tercapai, dia juga sedia membantu rakan sepasukan Aleix Espargaro untuk memenangi baki perlumbaan musim ini seterusnya muncul juara dengan meraih mata maksimum.

“Jika berpeluang, saya akan lakukannya kerana sememangnya menjadi impian kami untuk menyaksikan Aprilia muncul juara dunia.

“Berdasarkan kedudukan semasa, Espargaro dilihat berada pada landasan terbaik bagi merealisasikannya berbanding saya dan pelumba lain seperti Lorenzo Savadori.

“Oleh itu, saya sedia membantunya (Espargaro) dan diharap segala diusahakan ini berjaya membuahkan hasil kelak,” katanya.

Untuk rekod, Espargaro berada pada kedudukan kedua dengan mengumpul 151 mata di belakang pendahulu yang juga merupakan juara dunia, Fabio Quartararo (172 mata) manakala Vinales berada pada kedudukan ke-12 dengan 62 mata dan Savadori (tempat ke-27 tanpa sebarang mata).

Aprilia kini berada pada kedudukan ketiga dengan meraih 155 mata berbanding pendahulu Ducati yang meraih 246 mata setakat ini bagi kejuaraan dunia.

Vinales memberitahu, bahawa dia mula bekerjasama dengan Espargaro sejak saingan di Litar Mugello, Itali, 29 Mei lalu.

Katanya, kerjasama itu menjadi dan menyaksikan Espargaro menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga di belakang Quartararo manakala Francesco Bagnaia muncul selaku juara.

“Sejak kerjasama itu berjaya, saya bertambah yakin untuk terus membantu Espargaro dan seperti saya katakan tadi, segala usaha ini diharap dapat membantu Aprilia untuk muncul selaku juara dunia musim ini,” katanya.