Kraljevic mahu pemain ubah mentaliti

Makro Kraljevic
Makro Kraljevic
A
A
A

PENGENDALI Kelantan, Makro Kraljevic mahu barisan pemainnya mengubah mentaliti selepas diikat seri 1-1 oleh Terengganu (TFC) II pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, perubahan itu perlu segera dilakukan setelah dia mengesan anak buahnya mula hilang keyakinan biarpun mendahului lawan, pada suatu ketika.

“Bila kita mendahului pemain lawan menjadi takut kerana mereka tidak mempunyai keyakinan. Ia (keyakinan) akan datang apabila kita memenangi perlawanan tetapi ia tidak berlaku bukan sahaja dalam aksi sebelum ini ketika bertemu Sabah, UKM FC tetapi juga dengan TFC II.

Pemain Kelantan, Nik Azli Nik Alias (kiri) bersaing dengan pemain import TFC II, Bruno Suzuki dalam pertemuan Liga Premier yang berkesudahan seri 1-1 di Kota Bharu, malam tadi.
Pemain Kelantan, Nik Azli Nik Alias (kiri) bersaing dengan pemain import TFC II, Bruno Suzuki dalam pertemuan Liga Premier yang berkesudahan seri 1-1 di Kota Bharu, malam tadi.

"Selepas mendahului (1-0) kita membenarkan lawan menjaringkan gol dua tiga minit, semuanya berkisar mengenai mentaliti, tak cukup kuat untuk mendapatkan gol kedua seterusnya membunuh pasukan lawan,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.

Pada aksi tersebut, penyerang import tuan rumah, Raul Tarragona akhirnya berjaya menamatkan kemarau jaringan dalam lima perlawanan terdahului apabila meledak pada minit ke-19.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila TFC II bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi mata.

Jelas pengendali berusia 54 tahun itu lagi, dia tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah pasukannya sekali lagi kempunan untuk melakar kemenangan kedua, pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

Keputusan tersebut dianggap sesuatu yang merugikan buat The Red Warriors apatah lagi mereka mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Daripada lima perlawanan, empat di tempat lawan dan satu di gelanggang sendiri, tak banyak yang saya boleh katakan mengenai pasukan ini kecuali kami hilang begitu banyak mata sekarang.

"Saya fikir semua orang tahu, tiada rahsia bahawa Kelantan memerlukan lebih banyak mata. Ia bukan berlaku (tercicir mata) sekali tetapi tiga hingga empat kali dan ini masalah besar bagi kami,” katanya.