Sila log masuk terlebih dahulu.

Selangor, Pulau Pinang, Sabah pengimport gandum terbesar

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Selangor, Pulau Pinang dan Sabah merupakan pengimport gandum terbesar di negara ini pada Mei.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai import gandum belum dikilang ke Malaysia pada bulan adalah RM227.5 juta.

Menurutnya, Selangor mencatatkan import tertinggi bagi gandum belum dikilang bernilai RM101.0 juta, diikuti Pulau Pinang (RM74.2 juta) dan Sabah (RM19.0 juta).

"Malaysia merekodkan jumlah dagangan bernilai RM228.4 bilion dengan nilai eksport RM120.5 bilion (peningkatan 30.5 peratus) dan import bernilai RM107.9 bilion (peningkatan 37.3 peratus).

"Import pada bulan Mei meningkat RM29.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang adalah RM10.7 bilion, Johor (RM5.2 bilion), Selangor (RM3.8 bilion), Kuala Lumpur (RM3.4 bilion), Kedah (RM1.8 bilion), Negeri Sembilan (RM1.2 bilion), Pahang (RM837.4 juta), Perak (RM739.9 juta), Sarawak (RM573.2 juta), Terengganu (RM258.5 juta) dan Sabah sebanyak RM215.4 juta.

Walau bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, import menurun di Melaka iaitu RM137.0 juta, Perlis (RM14.3 juta), Kelantan (RM8.5 juta) dan Labuan (RM1.2 juta).

Menurutnya, prestasi eksport negeri juga merekodkan peningkatan sebanyak 30.5 peratus iaitu RM28.2 bilion berbanding bulan sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM13.3 bilion), Johor (RM5.2 bilion), Sarawak (RM3.6 bilion), Kuala Lumpur (RM2.9 bilion), Selangor (RM2.2 bilion), Labuan (RM1.1 bilion), Kedah (RM1.1 bilion), Sabah (RM903.5 juta), Pahang (RM56.1 juta) dan Perlis (RM30.1 juta)," katanya.

Tambah beliau, eksport didapati menyusut di Melaka iaitu RM951.0 juta, Perak (RM443.8 juta), Terengganu (RM375.1 juta), Negeri Sembilan (RM193.9 juta) dan Kelantan (RM25.0 juta).

"Antara lima negeri pengimport utama, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Selangor (24.1 peratus ), Johor (19.1 peratus), Kuala Lumpur (8.8 peratus) dan Kedah sebanyak 5.8 peratus.

"Sementara itu, bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.0 peratus, diikuti oleh Johor (21.0 peratus), Selangor (16.8 peratus), Sarawak (8.8 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 4.5 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan survei pendapatan, perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022.

"DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut," katanya.