Sila log masuk terlebih dahulu.

94 rumah penduduk di Sik terjejas banjir

No Image Caption
A
A
A

SIK - Sebanyak 94 rumah membabitkan tiga kampung di Mukim Sik dan enam kampung di Mukim Sok dalam daerah Sik terjejas akibat banjir susulan hujan lebat yang berterusan mulai pukul 1 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, bagaimanapun, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana kebanyakan mangsa banjir itu kini menumpang sementara di rumah saudara mereka.

"Kawasan yang terjejas di Mukim Sok ialah Kampung Lentang, Kampung Kuala Betong, Kampung Belantik Dalam, Kampung Surau, Kampung Pinang dan Kampung Landai.

"Di Mukim Sik pula, kawasan terjejas melibatkan Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing dan Kampung Jerai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Haisul Aishah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan air sudah memasuki kediaman penduduk pada 1.20 pagi.

"Terdapat beberapa mangsa yang terperangkap iaitu empat orang di Kampung Kuala Betong dan dua lagi di Kampung Belantik yang kesemuanya sudah diselamatkan.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih dalam proses pengumpulan maklumat...dan setakat ini, tiada PPS yang dibuka," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hujan telah pun berhenti dan terdapat beberapa kawasan yang banjir sudah surut namun ada juga kawasan yang air belum surut sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, terdapat dua lagi daerah yang dilaporkan terjejas banjir iaitu Baling dan Padang Terap.

"Sebanyak 42 rumah terjejas banjir di Baling, membabitkan tiga kampung di Mukim Baling iaitu Kampung Rambong Batu 7, Kampung Charok Juan dan Kampung Bendang Sera serta enam kawasan di Mukim Siong iaitu Lorong Jenalik, Lorong Tanjung Ara, Lorong Kampung Paya, Lorong Kundur, Lorong Atas Bukit dan Lorong Charok Pam.

"Di Padang Terap, sebanyak tujuh rumah dilaporkan terjejas banjir iaitu di Ladang Sungai Tekai, mukim Naka," katanya yang turut memaklumkan tiada PPS dibuka di kedua-dua daerah itu setakat ini. - Bernama