Sila log masuk terlebih dahulu.

YaPEIM lancar Skim Infaq Gaji, tarik golongan muda menyumbang

Idris menyempurnakan gimik pelancaran SIG disaksikan oleh Mohd Redza Shah (kiri) dan Awang (kanan) di Hotel Tenera, Bangi.
Idris menyempurnakan gimik pelancaran SIG disaksikan oleh Mohd Redza Shah (kiri) dan Awang (kanan) di Hotel Tenera, Bangi.
A
A
A

BANGI - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Skim Infaq Gaji (SIG) yang berlangsung di Hotel Tenera di sini, pada Isnin.

Pamangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil berkata, SIG merupakan penjenamaan semula Skim Potongan Gaji (SPG) sebagai langkah pembaharuan bagi menarik penyumbang terutama golongan muda untuk turut serta bersama YaPEIM membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, SPG YaPEIM dilancarkan pada 1985 dan telah berjaya menarik ramai kakitangan awam serta swasta untuk menyumbang melalui potongan gaji serendah RM1 sebulan.

"Selepas 37 tahun, SPG ditransformasikan kepada SIG dan masih mengekalkan objektif yang sama iaitu menjadi platform untuk membudayakan amalan bersedekah dan mengukuhkan kekuatan ekonomi kepada golongan sasar.

"Pelancaran SIG ini turut menampilkan kaedah menyumbang, capaian maklumat, logo dan persepsi yang lebih jelas dan inklusif kepada penyumbang dan pihak berkepentingan lain," katanya di Majlis Apresiasi Penyumbang Tabung Amanah YaPEIM dan Penjenamaan Semula Skim SPG di Hotel Tenera di sini, pada Isnin.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Tambahnya, sejak Januari 1985 sehingga Mei 2022, YaPEIM membuat agihan sumbangan yang diterima berjumlah kira-kira RM798 juta membabitkan kira-kira 8.2 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Idris (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Inspirasi Qaseh Kami YaPEIM.
Idris (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Inspirasi Qaseh Kami YaPEIM.

"Dari tahun 1985 sehingga April 2022, pihak YaPEIM berjaya mengumpul kira-kira RM652 juta melalui SPG.

"Sumbangan yang diagihkan ini membabitkan penerima manfaat seperti pelajar, keluarga miskin, usahawan asnaf, anak yatim/miskin, kumpulan B40, pertubuhan kebajikan/institusi pendidikan serta beberapa kumpulan sasar yang dikenal pasti.

"Antaranya pelaksanaan program Foodbank YaPEIM, Sinar Kasih, Inspirasi Prihatin YaPEIM, program Inspirasiku MyHAUS, Inspirasi Pendidikan dan program pembangunan usahawan," katanya.

Sementara itu, Idris merakamkan ucapan terima kasih kepada 245,252 orang penyumbang setia yang masih aktif berinfaq dengan YaPEIM.

" Insha-ALLAH, mereka yakin kepada YaPEIM untuk menguruskan sumbangan infaq yang diberikan. Mereka lihat gerak kerja YaPEIM lakukan.

"Program apresiasi ini merupakan penghormatan kepada mereka dan menjadi satu galakan buat mereka untuk sampaikan kempen SIG kepada orang ramai ke arah melestarikan ekonomi ummah dalam negara," katanya.