Sila log masuk terlebih dahulu.

Kejohanan Dunia: Pandalela rangkul gangsa di Budapest

Pandelela Rinong
Pandelela Rinong
A
A
A

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong terus mengharumkan nama Malaysia di pentas tertinggi selepas meraih pingat gangsa 10 meter (m) platform wanita Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary, pagi ini.

Kejayaan itu menyaksikan Pandelela menyamai pencapaiannya pada Kejohanan Dunia 2015 di Kazan, Rusia dan memperbaiki kedudukan kelima yang diraih pada edisi 2019 di Gwangju, Korea Selatan.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Duna, penerjun berusia 29 tahun itu mengumpul 338.85 mata dalam keseluruhan lima terjunan untuk memastikan kedudukan podium dalam genggamannya.

Juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 16 tahun Chen Yuxi, dari China merangkul emas selepas mengumpul 417.25 mata sementara rakan senegara berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo Quan Hongchan membawa pulang perak dengan kutipan 416.95 mata.

Pandelela yang memenangi pingat emas kejohanan terjun Piala Dunia 2021 di Tokyo, merupakan atlet paling senior dalam acara 10m platform wanita di Budapest.

Beliau akan turun beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri Khamis ini, dalam usaha mempertahankan pingat perak yang dimenangi bersama pasangan terdahulu, Datuk Leong Mun Yee pada 2019.

Dalam pada itu, cabaran Malaysia dalam acara 3m papan anjal lelaki berakhir di pusingan kelayakan selepas Muhammad Syafiq Puteh dan Chew Yiwei masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-35 dan ke-51 daripada keseluruhan 55 penerjun. - Bernama

Artikel Berkaitan: