Pintu PSM sentiasa terbuka

Sumali
Sumali
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana persatuan sepak takraw negeri yang mahu bernaung di bawah badan induk itu.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, pihaknya juga sedia membantu bagi urusan pendaftaran persatuan terlibat bagi mengelakkan daripada sebarang masalah timbul.

“Seperti yang selalu saya katakan sebelum ini, kami sentiasa menerima dengan hati terbuka terhadap mana-mana persatuan negeri yang mahu bersama PSM.

“Baru-baru ini Persatuan Sepak Takraw Kedah (Pestak) telah mengumumkan keluar daripada Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) dan memohon untuk kembali menyertai kami.

“Jawatankuasa Tertinggi PSM juga sudah menerima permohonan berkenaan dan ia akan disahkan dalam mesyuarat tidak lama lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Minggu lalu, MSC yang diterajui Datuk Suhaili Abdul Rahman menerima tamparan hebat selepas Pestak memutuskan untuk keluar dan tidak lagi menjadi ahli gabungan badan induk itu.

Keputusan Pestak itu menyaksikan hanya tinggal lima persatuan negeri - Selangor; Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan yang masih berada di bawah MSC.

Dalam pada itu, Sumali berkata, pihaknya berharap PSM mendapat berita positif apabila semakan kehakiman didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Julai ini.

“Semua pihak sedia maklum bahawa PSM telah memfailkan satu kebenaran untuk memohon semakan kehakiman yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kita biarkan pihak mahkamah tentukan dan sekiranya semakan kehakiman berkenaan memihak kepada PSM, maka kedudukan MSC akan terbatal secara keseluruhannya,” ujarnya.

Pada April lalu, PSM memohon semakan kehakiman susulan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang mendaftarkan MSC sebagai sebuah badan sukan sepak takraw di peringkat kebangsaan di negara ini.