FAMA sasar jualan ladang kontrak RM800 juta

Abdul Yunus (dua, kanan) menunjukkan sayur yang dijual RM1 seikat pada sesi 'happy hour' sambil diperhatikan Zainal Abidin (kanan).
Abdul Yunus (dua, kanan) menunjukkan sayur yang dijual RM1 seikat pada sesi 'happy hour' sambil diperhatikan Zainal Abidin (kanan).
A
A
A

IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM800 juta bagi Program Ladang Kontrak pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pelbagai usaha dibuat untuk mencapai sasaran itu termasuklah jualan di dalam pasar raya di seluruh negara melalui Jelajah Promosi Jualan Produk Segar Pertanian di bawah Program Ladang Kontrak yang bermula di Perak.

Menurutnya, kesemua usahawan yang terlibat dalam siri jelajah itu adalah peserta Ladang Kontrak FAMA dari seluruh negara membabitkan jualan buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Program ini adalah serampang dua mata untuk menambah pendapatan petani selain memartabatkan hasil pertanian. Persepsi selama ini, hasil pertanian ini dijual tepi jalan tapi sebenarnya tidak.

"Hasil pertanian sebenarnya dari ladang ke pasar raya. Kita nak petani lebih yakin dan berbangga dengan hasil mereka," katanya pada sidang media sempena Jelajah Promosi Jualan Produk Segar Pertanian di bawah Program Ladang Kontrak di AEON Mall Klebang di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, pelaksanaan program itu turut menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

Menurutnya, selain di Perak, program tersebut akan turut menjelajah ke Shah Alam, Kuantan, Bukit Mertajam, Johor Bahru, Miri dan beberapa lokasi lagi. Pada program itu, Abdul Yunus turut mengumumkan jualan 'happy hour' kepada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Dalam program itu, sebanyak lapan peserta Ladang Kontrak FAMA yang terlibat dalam jualan tersebut.