Pengurusan kes Najib kemuka bukti tambahan dijadual semula

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengurusan kes permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan bukti tambahan sebagai usaha membatalkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) yang telah menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, telah dijadualkan semula.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Kamarul ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes bekas perdana menteri itu yang pada awalnya ditetapkan pada Isnin, dijadualkan semula pada Khamis (30 Jun).

Pengurusan kes itu akan berlangsung menerusi persidangan video di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa, pada jam 3 petang.

Bukti tambahan yang Najib mohon untuk dimasukkan ialah berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menghakimi kes itu, merupakan setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang untuk Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pentadbiran kesemua jabatan undang-undang untuk keseluruhan kumpulan itu.

Pada sidang media pada 7 Jun, peguam bela Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Mohd Nazlan gagal mendedahkan bahawa beliau adalah penasihat undang-undang dan setiausaha syarikat untuk Kumpulan Maybank pada 2006, yang bertanggung jawab mencadangkan penubuhan SRC International.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, bukti yang beliau mohon untuk dikemukakan telah tidak diketahui olehnya pada ketika perbicaraan, ditambah dengan bukti itu adalah relevan dengan isu berkaitan di hadapan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan menjadikannya relevan kepada rayuannya yang akan diadili di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, fakta bahawa Hakim Mohd Nazlan mengetahui akan penglibatannya dalam penubuhan SRC International, tetapi menyembunyikannya kepada pihak pembelaan boleh membawa kepada konflik kepentingan yang telah membawa kepada berat sebelah.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan yang pada ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara dan denda RM210 juta kepada Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang telah menolak permohonannya pada 8 Disember tahun lepas oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang menyebabkan beliau merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan10 hari bermula 15 Ogos untuk pendengaran rayuan terakhir Najib terhadap sabitan, hukuman penjara dan juga denda yang telah dikenakan terhadapnya. - Bernama