Menteri Luar Australia adakan lawatan 3 hari ke Malaysia

Penny Wong - Foto AP
Penny Wong - Foto AP
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar Australia, Senator Penny Wong akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia mulai Selasa.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu akan mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Australia sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif (CSP).

Semasa lawatan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Senator Wong dijadual bertemu dan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Senator Wong juga dijadual mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama dua hala dalam perdagangan dan pelaburan, serta pertahanan.

Menteri Luar Australia itu juga akan berkunjung ke Kota Kinabalu dan akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negeri Sabah termasuk Timbalan Ketua Menteri ll dan Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Menurut kenyataan itu, lawatan ini juga memberi peluang bagi kedua-dua negara meneroka lebih banyak potensi kerjasama dalam pelbagai sektor demi kebaikan bersama.

"Ia juga memaparkan komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama yang rapat dengan kerajaan baharu Australia," menurut kenyataan itu.

Pada 2021, Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan dua hala dari Rakan Kerjasama Strategik ke CSP.

Australia merupakan rakan dagang ke-13 terbesar Malaysia pada 2021 dengan jumlah perdagangan berjumlah RM52.28 bilion (AS$12.43 bilion), peningkatan 28.7 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada 2020. - Bernama